
KAMPUNG RAGA
16 Oktober 2018
Sejarah Kampung Raga bermula sejak zaman penjajahan Jepun lagi. Pada mulanya, hanya ada sepasang suami isteri yang menetap disini. Namun, ia berkembang menjadi sebuah kampung apabila mereka beranak pinak dan berkahwin antara sesama sendiri. Nama Kampung Raga diperoleh melalui perkataan “keluarga” kerana penduduk sekitarnya mempunyai pertalian darah antara satu sama lain.


Mengapa terdapat arca raga di kampung ini? Apa perkaitannya dengan Kampung Raga? Rupa-rupanya, aktiviti menganyam raga menggunakan rotan yang diambil di hutan juga merupakan satu aktiviti yang sering dilakukan oleh penduduk pada suatu ketika dahulu. Raga yang telah siap dianyam kemudiannya akan dijual kepada orang luar.

Penduduk kampung amat menitikberatkan kebersihan sungai dan kampung. Aktiviti gotong-royong akan dilakukan pada setiap minggu. Usaha keras mereka untuk menjaga kebersihan sungai dan kampung ini tidak sia-sia dan mendatangkan hasil. Menurut Haji Talib iaitu orang yang paling tua di kampung ini, beliau berkata bahawa kampung ini pada suatu ketika dahulu pernah menerima anugerah naib johan bagi Pertandingan Kebersihan dan Pembangunan Kampong Tradisional peringkat Negeri Kedah Darulaman (1987), johan bagi Pertandingan Sungai Angkat kategori Jawatankuasa Kecil Kampung (JKKK) sungai angkat sedia ada peringkat negeri (1994), johan Pertandingan Kebersihan, Keindahan dan Kemajuan Kampung peringkat Daerah Yan (1994), tempat ketiga dalam Pertandingan Landskap sempena perayaan hari kebangsaan kategori taman rekreasi atau taman awam - Sungai Raya, Yan (1996), johan bagi Anugerah Sungai Angkat Terbaik kategori JKKK anjuran Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (1999) dan naib johan bagi Pertandingan Kebersihan, Keindahan dan Kemajuan Kampung peringkat Negeri Kedah Darulaman (2000).
